Jodoh Ketentuan Illahi

Ketika Cinta Bertasbih 2 menceritakan perjalanan seorang pemuda Azzam (M. Cholidi Asadil Alam), iaitu mahasiswa Indonesia yang menuntut ilmu di Universiti Al Azhar Kairo-Mesir. Kuliahnya tertunda selama 9 tahun setelah ayahnya meninggal dunia, demi mengharungi hidup dirinya dan keluarganya di Solo, Azzam berdagang bakso dan tempe di Kairo-Mesir. Namun dari pekerjaannya itulah, ia menjadi terkenal di kalangan KBRI di Kairo, dan mempertemukannya dengan Eliana (Alice Norin), gadis cantik dan moden iaitu Puteri Dubes RI di Mesir.
Perjalanan hidup dan cinta Azzam yang berliku tidak sekadar memberikan penjernihan jiwa namun mengajak kita untuk lebih mendalami rahsia Allah dan menghayati cinta itu. Azzam diuij Allah dengan Kematian Ibunya yang dicintai dan juga kehilangan tunang yang dikasihi lantaran semasa ia berada di ambang kesakitan, kesedihan kerana terlibat di dalam kemalangan. Tetapi Allah itu Maha kaya setiap kejadian ada hikmahnya. Sesungguhnya sesuatu yang kita sukai tidak bermakna Allah juga menyukai begitu jugalah sebaliknya.
Atas kesabaran Azzam, Allah mengurniakan beliau seorang isteri yang Solleh dan cantik serta kuat ibadahnya. Teringat saya kepada seorang bekas pesakit Darul Kahfi dari Negeri Pahang, Beliau ada SMS saya baru-baru ini dan meminta pandangan mengenai jodoh, yang mana beliau sedang berkawan dengan suami orang. Katanya lagi, beliau akan melangsungkan perkahwinan pada hujung tahun ini, namun tidak mendapat keredhaan dari kedua ibu-bapanya. Perhubungan ini sudah lama terjalin tanpa pengetahuan isteri dan juga keluarga lelaki itu tersebut.
Masalah jodoh, memang rahsia Illahi. Seperti disebutkan dalam hadits Ibnu Mas’ud radhiallahu ‘anhu, di saat manusia masih berada dalam perut ibunya, “Kemudian diperintahkan malaikat untuk menuliskan rezekinya, ajalnya, amal perbuatannya, kebahagiaan atau kesengsaraannya…”
Jodoh, termasuk rezeki seseorang. Jadi memang sudah ditentukan oleh Allah semenjak manusia belum diciptakan, dan sudah ditulis di Luh Mahfuzh. Dalam hal ini, kita tidak diperintahkan untuk memikirkan tentang takdir tersebut, tapi hanya diperintahkan untuk berusaha. Nabi shallallahu ‘alaihi wa sallam bersabda, “Beramallah, masing-masing akan dimudahkan melakukan apa telah dituliskan baginya.” (Riwayat Muslim).
Siapa kita hendak menentangNya, siapa kita pula hendak melawan takdirNya. Apa kita lupa siapa yang menjadikan diri kita ini. Apa yang saya boleh bantu hanya meminta saudari ini membuat solat istikharah berulang kali sehingga mendapat jawapan/ ilham yang tepat dari Allah dan sentiasa berdoa diberi keberkatan hidup. Sesungguhnya Allah tidak akan menghampakan doa hambaNya yang meminta bersungguh-sungguh dan berulang-ulang kali. Malah Allah amat menyukai mendengar suara hambaNya yang merayu dan tidak berputus-asa dalam berdoa. Di dalam surah Al-Mukmin ayat 60, Allah menjelaskan:

Berdoalah kepada Ku, nescaya akan Ku perkenankan bagimu, sesungguhnya orang-orang yang menyombongkan diri dari menyembah Ku akan masuk neraka jahannam dalam keadaan hina dina.

Azzam itu sendiri, sudah berapa kali jodohnya tidak kesampaian, walaupun dari gaya mukanya seperti orang yang kekecewaan, tidak salah merasai kesedihan atau kekecewaan tetapi mesti diatas landasan yang betul dan tidak menyalahi takdir. Namun Azzam tidak berputus asa dan sentiasa mengharap rahmat Allah dan yakin Allah akan memberi yang terbaik untuk dirinya. Saudari, Darul Kahfi merasa terharu setelah mendengar yang saudari telah putus hubungan dengan lelaki tersebut dan pada masa yang sama kami bersyukur kerana Allah lebih mengetahui yang terbaik untuk saudari.
Namun persoalannya sekarang kita tidak mengetahui apakah takdir yang ditentukan oleh Allah swt kepada kita. Siapakah jodoh kita dan seumpamanya. Semua perkara takdir ini tersimpan dalam pengetahuan Allah swt sahaja. Dalam menempuh kehidupan, Allah swt dan Nabi saw telah mengajar kita dalam bentuk yang terbaik termasuk dalam menerima jodoh. Allah menjadikan setiap takdir itu bersama dengan sebab musababnya. Maka setiap muslim perlu berusaha memperolehi yang baik dengan menempuh sebab-musabab kepada kebaikan seperti yang diajarkan oleh Nabi saw.
Ada perbezaan yang jelas antara jodoh dengan bakal jodoh. Tidak menerima bakal jodoh bukan bermakna menolak takdir. Tidak ada istilah menolak takdir setakat apa yang saya fahami. Tidak ada manusia yang mampu menyalahi takdirnya apatah lagi untuk menolaknya. Maka perbuatan seseorang yang menolak bakal jodohnya kerana berdasarkan penilaiannya, orang tersebut tidak sesuai untuknya, tidaklah boleh dikira sebagai menolak jodoh. Bahkan penolakan itu adalah wajar dan mesti jika ia ditolak berdasarkan penilaian agama. wallahuallam.
Nabi saw mengajar umat Islam lelaki dan perempuan untuk mereka berusaha memilih jodoh mereka, bahkan ini adalah kemestian. Antaranya adalah hadith Nabi saw maksudnya : " (kebiasaannya) Dikahwini wanita itu kerana empat perkara : Kerana hartanya, keturunannya, kecantikannya dan kerana agamanya, Maka pilihlah yang memiliki agama, dia akan menguntungkan kamu." (Al-Bukhari dan Muslim)
Hadith ini merangkumi lelaki dan wanita. Wanita juga disuruh memilih bakal jodohnya yang berpegang teguh dengan agama. Inilah usaha untuk memperolehi kebaikan yang dituntut oleh Allah dan rasul untuk kita mencarinya. Saudari yang dirahmati Allah, semoga penjelasan ini sedikit sebanyak dapat merawat dan megubati jiwa saudari dan saya juga mendapat khabar, bahawa saudari akan datang ke Kuala Lumpur untuk berjumpa Kami sekeluarga. Kunjungan saudari amat dialukan. InsyaAllah Kami akan bantu sedaya upaya. Kepada diri saya sendiri, kaum muslimin semua dan juga saudari yang dirahmati ingatlah pesan nabi saw buat umatnya “La tahzan innallah Maana” Jangan bersedih, sesungguhnya Allah bersama kita!